HIMPUNAN Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu mengundang kontroversi. Ekoran itu PAS dituduh dan dilebelkan dengan bermacam-macam gelaran. Malah ada yang berani mendakwa, himpunan aman itu haram menurut Islam kerana ia diketuai Dato' S Ambiga, pemimpin bukan Islam. Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan, MOHAMAD SHAFRI SHAMSUDIN mendapatkan penjelasan daripada Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh berhubung perkara ini. Ikuti butirannya.
Berdasarkan Islam, adakah Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu diizinkan?
USTAZ NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH : Dalam Islam, kita diajar apabila melihat sesuatu perkara yang tidak betul berlaku maka satu tindakan mesti diambil. Ini seiring sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Apabila kamu melihat kemungkaran atau ketidak adilan berlaku, maka kamu dikehendaki ubah dengan tangan atau kamu mengubah dengan mulut atau kamu mengubahnya dengan hati, jika tidak berkuasa. Itu adalah selemah-lemah iman".
Jadi, hadis ini memberi gambaran bahawa tindakan atau respons daripada melihat penyelewengan ini adalah satu kewajipan. Kewajipan ini bermula daripada cara yang aman dan ia berakhir dengan peperangan. Demonstrasi merupakan jalan tengah dan himpunan yang dibuat adalah aman. Sudah tentu ia tidak bercanggah dengan agama malah ia merupakan satu tuntutan dalam Islam.